Penetapan berlakunya poligami dalam Islam berserta dengan batasan-batasan tertentu dengan syarat-syaratnya mempunyai tujuan jangka panjang untuk menjaga kemaslahatan dan kebaikkan manusia semata-mata. Poligami bukanlah dapat dilakukan begitu sahaja, tetapi mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi terlebih dahulu sebelum melaksanakannya. Islam mengambil berat keharusan berpoligami untuk mengelakkan kaum lelaki mengambil kesempatan terhadap kaum wanita. Kaum lelaki tidak boleh mendabik dada mengatakan poligami adalah hak mereka. Sebelum berpoligami mereka perlu berfikiran jauh supaya tidak menimbulkan masalah di masa hadapan. Mereka perlu sedar, berpoligami bukanlah perkara yang boleh dipermainkan mengikut hawa nafsu semata-mata.
Pensyariatan poligami merupakan satu rukhsah ( keringanan ) dalam keadaan darurat. Jelaslah di sini walaupun bahasa yang digunakan di dalam ayat tiga Surah An-Nisa’ berunsur perintah, ia bukanlah membawa kepada makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati, ia membawa kepada satu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya memenuhi syarat-syarat untuk berpoligami. Di sini, penulis akan megemukakan beberapa syarat-syarat poligami sepertimana yang digariskan syariat Islam.
BERLAKU ADIL DI ANTARA PARA ISTERI DALAM PEMBAHAGIAN NAFKAH
Adil merupakan syarat utama yang membolehkan seseorang lelaki itu mengamalkan poligami sepertimana yang dituntut oleh agama Islam. Adil yang dimaksudkan di sini merangkumi pelbagai segi lahiriah, iaitu dari segi pembahagian nafkah, makan minum, pakaian, tempat tinggal dan pembahagian waktu untuk bersama setiap isteri serta perkara-perkara lain yang berbentuk kebendaan.
Keadilan dalam bentuk cinta dan kasih sayang tidaklah menjadi syarat utama kerana ia termasuk dalam kekuasaan Allah s.w.t walaupun manusia sendiri merupakan faktor utama dalam mewujudkan perasaan cinta dan kasih sayang tersebut. Firman Allah s.w.t :
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya .” (Surah al-Baqarah : 286)
Kecintaan terhadap seorang isteri dan kecenderungan hati kepadanya terdapat dalam firman Allah s.w.t :
وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا
“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh, oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau ( berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi ) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung ( di awan-awan ); dan jika kamu memperbaiki ( keadaan yang pincang itu ), dan memelihara diri ( daripada perbuatan yang zalim ), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’ : 129)
Seandainya keadilan dari segi cinta dan kasih sayang merupakan satu syarat yang wajib, maka mustahil bagi seorang hamba dapat berbuat demikian. Ini jelas melalui sejarah yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w sendiri selaku insan yang agung dari kalangan manusia, sedangkan semua orang disekelilinginya mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w lebih kasih kepada ‘Aisyah r.‘anha. Rasulullah s.a.w memberi sepenuh hatinya kepada ‘Aisyah berbanding isteri-isteri yang lain kerana hati itu bukan miliknya. Hati itu berada di antara dua kuasa dari kuasa-kuasa kudrat Allah Yang Rahman. Dialah yang membalik-balik hati mengikut iradatNya. Rasulullah s.a.w orang yang paling mengetahui tentang agama dan hatinya. Baginda pernah berdoa:
اللهم هذا قسمى فيما أملك فلا تلمنى فيما تملك ولا أملك
“ Ya Allah ya Tuhanku ! inilah pembahagianku dalam perkara-perkara yang berada di dalam milikku ( nafkah, giliran, dan sebagainya ) dan jaganlah Engkau persalahkan aku dalm perkara-perkara yang dimiliki olehMu ( kasih ) dan tidak dimiliki olehku.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud, at-Tarrmizi dan an-Nasai’)
Apabila suami melakukan poligami, maka kewajipanya bertambah kerana bertambahnya bilangan isterinya. Nafkah mengikut bahasa adalah harta atau hal yang dibelanjakan oleh seseorang. Menurut istilah pula, nafkah adalah apa yang diwajibkan atas suami untuk isterinya dan anak-anak seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, rawatan dan sebagainya. Nafkah untuk isteri adalah wajib berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak’. Dalil dari al-Quran dalah seperti mana firman Allah s.w.t :
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“ Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah : 233)
Secara ringkasnya, nafkah yang dimaksudkan ialah segala keperluan berbentuk kebendaan yang menjadi keperluan asasi setiap orang. Cuma nilainya sahaja yang berbeza-beza mengikut kemampuan ekonomi suami.
WANITA YANG DIKUMPULKAN TIDAK BERSAUDARA
Islam telah menetapkan bahawa poligami adalah untuk memelihara kaum wanita. Oleh itu, Islam melarang sama sekali untuk seseorang lelaki mengumpulkan kakak dengan adik beradik, ibu dengan anak perempuannya atau seorang wanita dengan saudara ayahnya atau ibunya dalam satu masa.
Firman Allah s.w.t :
وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا
“ Dan janganlah kamu berkahwin ( dengan perempuan-perempuan ) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci ( oleh Allah ), serta menjadi seburuk-buruk jalan ( yang dilalui dalam perkahwinan ).” (Surah an-Nisa’ : 22)
Sabda Rasulullah s.a.w :
لا يجمع بين المرأة وعمتها ولا بين المرأة و خالتها
“ Tidak boleh dikumpul antara wanita dengan saudara dari ayahnya dan tidak boleh dikumpulkan antara wanita dengan saudara dari ibunya.” (Riwayat Imam al-Bukhari no: 5110, Muslim no: 1408)
Larangan ini adalah untuk memelihara ikatan dan jalinan kasih sayang dalam keluarga untuk mengelakkan timbulnya perasaan cemburu dan iri hati sesama sendiri.
PEMBATASAN JUMLAH ISTERI
Seorang lelaki tidak boleh beristeri melebihi dari empat dalam satu waktu. Hal ini seperti mana yang telah diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Wahb al-Asadi ketika mana beliau masuk Islam, sedangkan beliau beristeri lebih dari empat. Maka Rasulullah s.a.w menyuruhnya memilih empat isteri sahaja dan yang lainnya diceraikan. Sabda Rasulullah s.a.w :
إختر منهن اربعا
“ Pilihlah empat dari mereka.” (Riwayat Abu Daud no: 2241. Disahihkan oleh al-Bani)
ADIL MELAKUKAN GILIRAN
Seorang suami yang melakukan poligami wajib berlaku adil melakukan giliran bermalam. Jika suami berkahwin dengan gadis, maka dia tinggal bersamanya selama tujuh hari. Kemudian barulah melakukan giliran yang sama selepas itu. Jika yang dikahwini adalah janda, maka dia tinggal selama tiga hari. Kemudian barulah suami melakukan giliran. Hal ini berdasarkan hadis yang berikut, dari Anas bin Malik r.a dia berkata :
إذا تزوج البكر على الثيب أقام عندها سبعا, وإذا تزوج الثيب على بكر اقام عندها ثلاث
“ Jika seorang lelaki berkahwin dengan gadis, maka dia tinggal denganya selama tujuh hari. Jika seorang lelaki berkahwin dengan janda, m
aka dia tinggal bersamanya selama tiga hari.” (Riwayat Imam al-Bukhari no
:5214. Muslim no: 1461)
aka dia tinggal bersamanya selama tiga hari.” (Riwayat Imam al-Bukhari no
:5214. Muslim no: 1461)
KEMAMPUAN MENJAGA KEHORMATAN ISTERI-ISTERINYA
Sudah menjadi tanggungjawab seorang suami untuk menjaga kehormatan isterinya. Suami perlu mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan nafkah batin isteri-isterinya. Jika tidak, hal ini akan membawa kepada kerosakkan hubungan rumah tangga mereka. Sedangkan Allah s.w.t tidak menyukai kerosakkan. Sabda Rasulullah s.a.w :
يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج. فإنه إغض للبصر و أحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه وجأ.
“ Wahai para pemuda, barang siapa antara kamu mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pendindingnya.” (Riwayat Imam al-Bukhari no: 5065. Muslim no: 1400)
Yang dimaksudkan dengan mampu ialah mampu bersetubuh serta mampu menyara isteri. Manakala pendinding ialah penyekat keinginan untuk bersetubuh.
(Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugho dan ‘Ali asy-Syarbaji. Fiqh Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam as-Syafi’e. Dar al-Qalam, Dimasq.)
~ Petikan Mohammad Azhar (dot)com
